Proton Iriz dan Persona 2019 diperkenalkan kepada umum di Malaysia Autoshow

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Proton Iriz dan Persona 2019 diperkenalkan di Malaysia Autoshow

Kedua-dua model Iriz dan Persona 2019 yang telah ditambah baik itu telah diperkenalkan bagi tontonan umum semasa acara Malaysia Autoshow 2019 yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Mahathir Mohamad dan diiringi Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON serta Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Iriz dan Persona 2019 dilengkapi ciri-ciri pintar serta rekabentuk baharu.

Kedua-dua model ini telah dipertontonkan kepada media pada Februari dan Mac lalu serta kepada pelanggan terpilih semasa acara yang diadakan pada hujung minggu di beberapa cawangan PROTON terpilih. Namun, pada hari ini, para pelanggan yang datang ke acara ini berpeluang untuk melihat buat pertama kali model hatchback dan sedan terbaharu ini dengan lebih dekat.

Kedua-dua model ini telah mendapat rekaan baharu, hasil dari kerjasama antara kumpulan Reka Bentuk PROTON dan pereka- pereka dari studio reka bentuk Geely. Ciri-ciri baharu lain termasuklah ethereal bow serta corak infinite weave yang telah dipadankan pada gril dan bampar hadapan, bampar belakang dan juga reka bentuk rodanya.

Pada bahagian dalam, PROTON telah memasang unit multimedia pintar bagi varian Premium 1.6AT, ciri pertama dalam kelasnya yang menggunakan kad eSIM untuk memastikan kereta tersebut kekal dengan sambungan internet. Turut ditawarkan adalah aplikasi bagi penstriman muzik, navigasi dan pengecaman suara serta turut boleh diakses melalui skrin sesentuh 7-inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sebanyak 16GB. Pengguna telefon pintar Android juga akan dapat menikmati fungsi pencerminan penuh melalui aplikasi sambungan yang mudah, membolehkan mereka mengakses data yang disimpan pada peranti mudah alih mereka.

Selain daripada perubahan pada gaya dan ciri-ciri pintar baharu, para jurutera pembangunan kenderaan di PROTON juga telah membuat pelbagai penambahbaikan kepada kedua-dua kereta yang mampu meningkatkan kualiti dan keseluruhan pengalaman pemilikan. Bagi Proton Iriz, sebanyak 367 penambahbaikan telah dilakukan, manakala untuk Proton Persona pula, sebanyak 303 penambahbaikan telah dibuat pada pelbagai bahagian kereta tersebut.

“Barisan jurutera dan pereka bentuk Syarikat telah bekerja keras selama 18 bulan untuk menambahbaik kedua-dua model ini dan kami yakin bahawa pembeli kereta Malaysia akan dapat melihat dan merasai sendiri hasil usaha mereka apabila mereka melangkah masuk ke dalam setiap satu daripada kereta ini. Setakat ini, lebih 8,000 tempahan telah diterima dan kami percaya bahawa angka ini akan bertambah sebaik sahaja kereta tersebut mula dijual,” kata Dr Li Chunrong.

PROTON mendahului pasaran SUV melalui model X70  

Tiga bulan pertama tahun 2019 telah terbukti menjadi permulaan yang cemerlang buat PROTON apabila berjaya mendahului pasaran keseluruhan SUV dalam jualan, hasil dari populariti Proton X70 yang menjadi pilihan. Kombinasi ciri-ciri pintar, gaya kontemporari, kualiti produk yang terbaik dan harga yang menarik telah terbukti menjadi tarikan banyak pembeli SUV di Malaysia dan ini dapat dilihat apabila model X70 telah menerima lebih daripada 25,000 tempahan setakat ini.

 

Share.

About Author

Leave A Reply