Perhimpunan Beetle terbesar di Malaysia – Para peminat Beetle sekalian, anda dijemput menyertai acara ini

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Buat julung-julung kalinya, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) akan menganjurkan acara Beetle, An Iconic Gathering. Acara ini  menjemput semua pemilik Beetle untuk diraikan dan akan diadakan di tempat parkir kenderaan terbuka di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 13 Julai 2019.

Volkswagen akan cuba untuk memecahkan rekod yang sedia ada. Jadi, mereka menjemput semua pemilik model klasik dan Beetle terkini untuk turut sama merealisasikan usaha tersebut.

Sambutan itu akan dimulakan dengan konvoi Beetle Sunshine Tour yang melibatkan sebanyak 100 buah Beetle dan dilepaskan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Konvoi itu akan melalui jalan-jalan di Segi Tiga Emas sebelum bergerak ke Putrajaya di mana ia akan menyertai Beetle yang lain di Istana Kehakiman.

Acara Beetle : An Iconic Gathering dibuka kepada semua pemilik Beetle. Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web Volkswagen https://bit.ly/2X2poH7 . Penyertaan adalah percuma dan perincian acara akan diberikan ketika pendaftaran dalam talian itu dibuat. Semua peserta juga akan menerima sijil penyertaan daripada Volkswagen.

 Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, “Volkswagen akan menamatkan pengeluaran produksi Beetle yang sangat digemari pada tahun ini. Kami mahu memberikan ucapan selamat jalan kepada model terlaris ini dengan meraikan warisannya. Justeru, kami ingin menjemput pemilik dan peminat Beetle untuk sama-sama berkumpul, sekali gus memecahkan rekod dan meraikan Bug kegemaran dunia ini.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk peminat Beetle melihat sendiri model Beetle klasik dan terkini dalam pelbagai bentuk penampilan. Kebanyakan daripadanya sudah menerima sentuhan tersendiri untuk disesuaikan dengan personaliti pemiliknya yang penuh warna-warni,” kata Erik.

Direka oleh Ferdinand Porsche pada tahun 1938, Beetle dianggap sebagai ikon automotif yang original. Ia telah menikmati kejayaan selama 80 tahun dengan lebih 21.5 juta terjual di seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web https://www.volkswagen.com.my/beetle/byebyebeetle atau klik https://bit.ly/2X2poH7 untuk mendaftar.

Share.

About Author

Leave A Reply