Proton Berjaya Menduduki Kedudukan Ke-2 Separuh Tahun 2019 – Proton X70 terus mendominasi segmennya

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Selepas 40 bulan, PROTON kini kembali sebagai nombor dua dalam jumlah keseluruhan jualan untuk pasaran automotif Malaysia. Kali terakhir Proton berada di dalam kedudukan yang sama adalah pada Mac 2016, manakala kedudukan yang sama dalam tahun kalendar pula adalah pada tahun 2015. Jualan sebanyak 8,590 unit untuk bulan Julai bermakna momentum positif untuk tahun ini, telah dibawa ke hadapan untuk tujuh bulan berturut-turut menjadikan PROTON sebagai satu-satunya jenama yang mencapai kejayaan itu pada 2019.

Pegangan pasaran bagi bulan lepas dianggarkan sebanyak 16.5% dengan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan pada 51,960 unit. Pegangan pasaran keseluruhan PROTON untuk tahun ini kini dianggarkan sebanyak 15%.

Pada 12 bulan yang lepas, jualan automotif di Malaysia meningkat apabila pembelian tanpa cukai dilaksanakan dari bulan Jun sehingga Ogos. PROTON, sama seperti semua jenama automotif lain, mencatatkan jualan yang baik bagi 2018 sepanjang tempoh tiga bulan tersebut. Walau bagaimanapun, pada tahun 2019, meskipun tiada lagi pembelian tanpa cukai dilaksanakan, jualan PROTON terus menunjukkan pertumbuhan positif.

Setelah mencapai kenaikan sebanyak 23% pada bulan Jun, jualan Syarikat terus meningkat sebanyak 6% pada bulan Julai. Walaupun kadar pertumbuhan berkurangan, disebabkan jualan yang kukuh yang dicatatkan pada tahun 2018, PROTON merupakan satu-satunya jenama automotif yang menunjukkan pertumbuhan positif untuk bulan lepas, membuktikan permintaan yang tinggi pada produknya.

Bagi tahun ini, jumlah jualan kini adalah sebanyak 52,269 unit berbanding 35,561 pada tahun 2018, bersamaan pertumbuhan sebanyak 47% dalam keseluruhan jualan dari tahun ke tahun.

“Kedudukan PROTON kembali ke tempat kedua secara keseluruhan dalam pasaran automotif Malaysia telah berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan. Peningkatan permintaan pada produk menunjukkan Proton berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran jangka panjang dan sepanjang tahun 2019, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan kami bagi mengakhiri tahun ini di tempat kedua buat pertama kalinya dalam tempoh empat tahun. Dengan pelancaran Proton Saga 2019 tidak lama lagi dan dengan pengenalan produk lain yang dalam perancangan, Proton yakin akan mendapat hasil yang lebih baik pada masa hadapan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

PROTON X70

Peningkatan pada jualan PROTON telah disemarakkan oleh prestasi menyerlah bagi setiap model Proton. Varian Premium dan Eksekutif Proton X70 terus menjadi peneraju dalam segmen SUV masing-masing dengan 1,932 unit diserahkan pada bulan Julai dan sebanyak 17,023 unit pada 2019.

Proton Persona yang telah diperbaharui merupakan antara model Syarikat yang menjadi pilihan. Model tersebut dilancarkan pada bulan April tahun ini dan sejak itu, jualan telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh sama pada tahun 2018. Sebanyak 2,720 unit telah diserahkan pada bulan Julai menjadikan model ini yang terlaris dalam pasaran sedan segmen B, mengatasi pesaing Jepun yang sebelum ini menguasai segmen tersebut. Dengan sebanyak 10,034 unit serahan setakat ini, jualan naik sebanyak 3% dari tahun ke tahun, satu angka yang dijangka berkembang dalam tempoh 5 bulan terakhir tahun 2019.

PROTON Persona

Proton Iriz turut mengalami pertumbuhan sejak model terbaharu itu dilancarkan bersama Persona. Sebanyak 974 unit telah diserahkan pada bulan Julai dan bagi tujuh bulan pertama tahun ini, 3,035 unit telah dijual. Apa yang lebih mengagumkan ialah jualan yang meningkat sebanyak 53% dari tahun ke tahun, yang merupakan bukti pelanggan menerima penambahbaikan yang dibuat pada model ini.

Bagi Proton Saga, model ini berjaya dijual sebanyak 2,381 unit pada bulan Julai daripada jumlah keseluruhan iaitu 17,722 unit. Walaupun terdapat penurunan dalam jualan berbanding bulan yang sama pada tahun 2018, jualan keseluruhan masih meningkat sebanyak 14%, pencapaian yang luar biasa untuk model yang akan dikemaskini pada bulan Ogos ini.

PROTON Iriz

“Sementara Proton X70 meneruskan perkembangannya, model-model lain turut menyumbang pada prestasi Syarikat. Proton Persona kini mendahului jualan dalam segmennya yang dahulunya dikuasai oleh produk Jepun manakala Proton Saga masih menjadi pilihan paling popular di kalangan pembeli kereta kali pertama yang mencari sebuah kereta yang selamat, diyakini dan menjimatkan. Malah, Proton Iriz turut memperlihatkan peningkatan dalam permintaan, dengan jualan meningkat lebih 50%, dan dengan ini, Syarikat berasa terharu dengan kepercayaan yang ditunjukkan oleh pembeli kereta di Malaysia pada jenama PROTON,” tambah Dr Li Chunrong.

 

Share.

About Author

Leave A Reply