Jelajah Solo Mengenang Seorang Sahabat!

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Mungkin menjadi kebiasaan kepada seseorang untuk menjelajah ke serata pelusuk tanah air dengan menaiki motosikal samada secara berkumpulan mahupun secara solo. Namun, apa yang menjadi tarikan kepada seorang anak muda ini agak luar biasa. Mengapa?

Pada awal tahun 2013, 2 orang sahabat baik iaitu Dzul Fadli dan juga Muhammad Khairil Aziz telah berjanji sesama mereka untuk menjelajah bersama dengan menaiki motosikal ke negeri di Pantai Timur tanah air untuk melawat seorang pemimpin yang pada ketika itu menjadi pemimpin di negeri tersebut. Namun, segala perancangan mereka tidak menjadi kerana salah seorang daripada mereka iaitu Muhammad Khairil telah menghembuskan nafas terakhir beliau dalam satu kemalangan jalan raya sebelum sempat meneruskan impian mereka bersama.

Ianya bukan sahaja suatu kehilangan bagi keluarga arwah, malah ianya sangat terkesan kepada Dzul Fadli yang amat rapat dan bersahabat baik sejak dari bangku sekolah lagi. Demi menyempurnakan hasrat yang pernah dirancangkan, maka Dzul Fadli telah mengambil keputusan untuk menyempurnakan niat tersebut dengan melakukan penjelajahan secara solo. Tetapi bukan ke Pantai Timur sahaja malah ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Tanggal 6 Februari 2019 yang lepas, penjelajahan Dzul Fadli bermula dari negeri Melaka dengan menunggang sebuah motosikal model Honda RS150. Dari Melaka beliau bergerak ke negeri Pahang melalui jalan Segamat-Muadzam di Johor. Dari Pahang, beliau meneruskan perjalanan ke negeri Terengganu dan Kelantan menerusi jalan dalam melalui Pantai Tok Bali. Beliau kemudiannya meneruskan perjalanan ke Alor Setar di Kedah dan seterusnya bermalam di rumah salah seorang saudara beliau di Kangar, Perlis.

Dari Kangar, beliau bergerak terus ke Butterworth, Pulau Pinang. Dari situ, Dzul kemudiannya terus ke Ipoh dengan melalui jalan dalam dan seterusnya ke Cameron Highland. Untuk pengetahuan, seperti yang diberitahu, ini merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke tanah tinggi Cameron. Maka sedikit keterujaan yang dapat beliau rasai semasa itu. Kemudian, beliau turun semula melalui Teluk Intan menuju ke Sungai Buloh dan Kuala Lumpur. Kemudiannya, perjalanan diteruskan lagi menuju ke Seremban dan tanggal 12 Februari 2019, beliau selamat sampai ke negeri Melaka semula.

Sepanjang penjelajahan ini, banyak pengalaman baharu yang dapat dirasai oleh beliau di samping dapat melawat rakan-rakan yang tinggal merantau. Beliau juga berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan yang dahulunya mengenali arwah rakan karibnya yang sehingga kini tidak pernah lupa akan detik-detik bersama suatu ketika dahulu. Memori lama bangkit kembali apabila beliau turut melawati ke tempat-tempat yang pernah dikunjungi bersama arwah rakan karibnya itu antaranya Batu Feringghi dan Teluk Intan.

Dzul Fadli menyatakan bahawa beliau akan sentiasa mengenang segala kenangan bersama arwah rakan karibnya ini dan tidak akan melupakan sampai bila-bila. Segala yang pernah dirancangkan kini telah beliau laksanakan biarpun berseorangan. Akhirnya semua terlaksana sebelum beliau berumah tangga.

Al Fatihah “Muhammad Khairil Aziz”

Share.

About Author

Leave A Reply