ISUZU D-MAX 1.9 LITER BUKTIKAN KEMAMPUAN DALAM CABARAN 1,000 KM – Merentasi laluan Banjaran Titiwangsa dengan beban maksimum

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Dengan pencapaian penggunaan bahan api terbaik yang pernah ditunjukkan sebelum ini di dalam Dura Miles Challenge, yang menyaksikan D-Max dipandu dari Bangkok ke Singapura dengan menggunakan hanya satu tangki bahan api, Isuzu Malaysia kini meningkatkan pembuktian tahap kecekapan trak pikap Isuzu D-Max dengan menguji enjin 1.9 liter Blue Power baharunya melalui satu lagi cabaran ekstrim.

D-Max 1.9 liter Single Cab dimuatkan beban maksimum sehingga satu tan yang boleh ditampungnya sebelum dipandu melalui kawasan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa dengan catatan jumlah jarak perjalanan melebihi 1,000 km di dalam cabaran: D-Max 1.9 Blue Power Dura Challenge. Lebih mengagumkan, semua itu dicapai dengan dua takuk bahan api yang masih berbaki di dalam tangki pada akhir cabaran ini.

“Kemampuan penjimatan Isuzu D-Max terus berada pada tahap membanggakan. Walaupun ia sebuah trak pikap dengan kapasiti enjin yang paling kecil dalam pasaran ketika ini, Isuzu D-Max 1.9 Blue Power menyelesaikan cabaran berkenaan dengan mudah dan meyakinkan. Ini secara langsung membuktikan bahawa ia boleh menggalas apa sahaja tugasan yang diberikan kepadanya,” jelas Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Sebelum memulakan perjalanannya dari kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap Isuzu D-Max 1.9 liter Single Cab oleh PUSPAKOM bagi mengesahkan bahawa ia unit standard yang sama di bilik pameran serta bagi mendapatkan pengesahan terhadap jumlah beban yang dibawa, melebihi 1,000 kg.

Dengan bahagian muatan, bonet serta tangki minyak ditutup dan disahkan, Isuzu D-Max 1.9 liter single cab menuju ke Utara untuk cabarannya yang pertama — Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli di Kelantan dengan Grik di Perak dengan laluan mendaki dengan ketinggian 1,052 m sebelum ke Ipoh untuk menamatkan cabaran hari pertamanya.

Keesokan harinya, cabaran yang terpaksa dilalui lebih sukar apabila unit kabin tunggal berkenaan dikehendaki mendaki ketinggian 1,112 m ke Tanah Rata di Cameron Highlands sebelum melanjutkan perjalanan ke Fraser’s Hill (1,222 m) melalui Raub. Seterusnya, cabaran perjalanannya lebih getir; merentasi laluan mendaki ketinggian 1,604 m menuju Genting Highlands sebelum menamatkan perjalanan di Pusat Servis Isuzu di Shah Alam dan merekodkan jarak perjalanan 1,145 km keseluruhannya.

Dengan purata penggunaan bahan api 7.2l/100 km (13.7 km/l) berdasarkan bacaan pada meter dalamannya, D-Max 1.9 liter Single Cab tiba di lokasi akhirnya dengan bahan api yang masih banyak di dalam kapasiti tangki 76 liter yang ada padanya.

“Melalui teknologi maju, unit enjin 1.9 liter RZ4E-TC yang digunakan ialah yang paling cekap pernah dihasilkan oleh Isuzu Motors. Ini telah dibuktikan dengan jelas di dalam percubaan yang dilakukan ini. Memang ada kenderaan lain boleh menjelajah jarak yang jauh dengan hanya satu tangki bahan api, sesetengah yang lain pula boleh membawa beban 1 tan serta melalui jalan mendaki dipergunungan. Tetapi, untuk sebuah kenderaan mampu melakukan ketiga-tiganya sekali dengan cemerlang, ia sesuatu yang menakjubkan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Dikuasakan oleh enjin 1.9 liter Blue Power diesel terkini yang menghasilkan lebih kuasa dan tork berbanding model dengan enjin 2.5 liter yang digantikannya, Isuzu D-Max Single Cab memaksimumkan prestasinya melalui inovasi teknologi termasuk pada rekaan kebuk pembakaran dan intake manifold, sistem suntikan minyak baru yang menjadikan bahan api disemburkan dengan lebih tepat dan optimum serta pengecas turbo Variable Geometry (VGS) yang menjadikan enjin lebih responsif dalam julat yang lebih luas.

Dengan gabungan komponen enjin yang kurang geseran serta disaluti Molybdenum dan Graphite, enjin 1.9 liter Blue Power dapat memberikan lebih daya tahan dan pada masa yang sama dapat mengurangkan tekanan pada komponen. Ini menyumbang kepada pengurangan berat enjin sehingga 56 kg, menjadikan D-Max 1.9 liter Blue Power antara trak pikap yang boleh diharap dan paling mampu milik di dalam pasaran tempatan ketika ini kerana kos selenggara dan cukai jalannya yang rendah.

Semua model Isuzu D-Max termasuk 1.9 liter Single Cab didatangkan dengan tempoh jaminan lima-tahun atau 150,000 km. Untuk keterangan lanjut berkaitan model-model D-Max yang lain, layari www.isuzu.net.my/pickup atau laman sosial Isuzu Malaysia @ISUZU.DMax.Malaysia.

GALERI : 

 

 

Share.

About Author

Leave A Reply