Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin Berkongsi Kegembiraan Bersama Anak-Anak Yatim Serta Mereka Yang Kurang Bernasib Baik

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin telah menjemput sejumlah 120 orang dari 2 rumah anak-anak yatim dalam satu majlis berbuka puasa bersama-sama kakitangan Pengurusan Naza Group dan para sukarelawan mereka yang bertempat di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC). Majlis tahunan ini diadakan bagi memberi sedikit keceriaan dan kesempurnaan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Seri Kundang serta Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia telah diraikan dalam majlis berbuka puasa yang telah dianjurkan oleh oleh pengasas Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin, Puan Sri Datin Seri Utama Zaleha Ismail bersama-sama ahli keluarganya iaitu SM Nasarudin SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama, Naza Group of Companies dan isteri Marion Caunter Abdullah, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama,  Naza Group of Companies; SM Faliq SM Nasimuddin, Timbalan Pengerusi Eksekutif, Naza Group of Companies; Nur Diana SM Nasimuddin dan Nur Nadia SM Nasimuddin, Pengarah Bahagian F & B, Naza F & B Holdings. Anak-anak yatim tersebut telah diberikan sumbangan berupa pakaian baru, duit raya serta sumbangan kewangan terus kepada rumah tersebut bagi persediaan menyambut Hari Raya yang bakal tiba nanti.

Para sukarelawan Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin yang terdiri daripada pengurusan kanan dan kakitangan Naza Group, turut menyertai program CSR Ramadhan di mana mereka melawat komuniti yang kurang bernasib baik. Para sukarelawan dari yayasan bersama dengan pemegang saham Naza Group dan keluarga mereka melawat Wad Kanser Kanak-Kanak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di mana mereka beramah mesra dengan kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti dan permainan. Kanak-kanak di wad juga menerima duit raya, keperluan dan hadiah Hari Raya dari yayasan.

Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin turut melawat Pusat Jagaan Al-Fikrah, sebuah rumah orang tua yang terletak di Kajang. Mereka membekalkan keperluan seperti lampin dewasa, peralatan mandian, makanan tambahan dan produk pembersih. Semasa lawatan itu, Puan Sri Datin Seri Utama Zaleha Ismail dan keluarganya turut menyerahkan ‘zakat’ kepada penjaga rumah serta setiap penghuni.

Delegasi sukarelawan yang diketuai oleh Puan Sri Datin Seri Utama Zaleha Ismail turut bertemu dengan keluarga asnaf di Masjid Hidayatul Muttaqin Kampung Bukit Lanchung, Shah Alam. Lawatan itu dibuat untuk menyampaikan bantuan dengan memberi bekalan makanan seperti beras, minyak masak, gula, garam disamping  sumbangan ‘zakat’ yang dapat mengurangkan beban mereka.

Hampir RM180,000 telah disumbangkan kepada badan amal oleh Naza Group sepanjang Ramadhan ini. Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin ditubuhkan sebagai penghormatan kepada pengasas kumpulan ini iaitu Tan Sri SM Nasimuddin dengan misi untuk memberi bantuan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik di Malaysia berdasarkan tiga teras utama iaitu pendidikan, pembangunan komuniti dan penjagaan kesihatan. Selama bertahun-tahun, Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin turut mengagihkan zakat ke sekolah-sekolah, mengadakan bengkel pendidikan untuk anak-anak sekolah dan mendermakan pelbagai barang seperti pakaian seragam sekolah dan beg, barang makanan serta kenderaan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat kurang bernasib baik.

 

Share.

About Author

Leave A Reply