Teknikal – STROKER KIT

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Memperbesarkan Kapasiti Enjin Jentera Anda

Stroker kit merupakan sebuah kit alat ganti aftermarket yang dapat memperbesarkan kapasiti enjin anda dengan mudah. Kenaikan kapasiti tersebut dapat dicapai dengan pergerakan omboh yang lebih panjang, iaitu pergerakan omboh lebih jauh ke atas atau/dan lebih jauh ke bawah dalam silinder-nya. Ini dibolehkan dengan menggunakan crankshaft khas, dimana crank pin diletakkan lebih jauh dari pusat paksi putaran crankshaft. Walaupun kit-kit seperti ini dapat meningkatkan kapasiti dan tork sesebuah enjin, ia juga berpotensi untuk merendahkan had selamat putaran enjin tersebut berbanding konfigurasi asal.

Terdapat dua ciri yang membezakan sebuah stroker kit dari konfigurasi OEM;

Yang pertama, dan paling utama, conrod journal untuk sebuah crankshaft stroker kit diletakkan lebih jauh dari journal utama berbanding konfigurasi asal. Peningkatan jarak antara conrod journal dan main crankshaft journal akan memberikan dua kali ganda jarak tersebut dalam pergerakan omboh di dalam silinder.

Ciri yang kedua sebuah stroker kit berbanding OEM adalah perbezaan atau ubahsuai yang diperlukan supaya crankshaft stroker tersebut dapat dipasangkan. Ini boleh dicapai dengan; 1) Lokasi piston pin dan bahagian atas conrod dalam omboh tersebut, atau merendahkan compression height, 2) Panjang conrod dikurangkan, 3) Tinggi silinder tersebut dipanjangkan.

Omboh yang lebih rendah

Setelah memasangkan crankshaft stroker yang mempunyai conrod journal yang lebih jarak dari pusat paksi putaran crankshaft tersebut, pergerakkan omboh ankan menjadi lebih panjang dan mungkin terkena bahagian atas (kepala silinder). Supaya ini tidak berlaku, omboh aftermarket untuk sebuah stroker kit biasanya mempunyai piston pin yang lebih jauh ke atas omboh itu tersendiri. Ini dapat merendahkan pergerakan omboh tersebut supaya tidak terkena bahagian atas.

Conrod yang lebih pendek

Seperti di atas, supaya pergerakan omboh yang lebih jauh tidak terkena bahagian atas enjin, selain dari menggunakan omboh low compression, conrod asal boleh juga diganti dengan conrod yang lebih pendek. Ini juga dapat merendahkan pergerakan omboh tersebut.

Silinder yang lebih tinggi

Selain dari pilihan diatas, ada juga ubahsuai stroker kit yang dilakukan dengan menggunakan head gasket yang lebih tebal, dan ini dapat mengelakan omboh dari terkena kepala silinder.

Sebuah crankshaft stroker kit menggunakan daya mengumpil untuk menjanakan tork dengan lebih mudah. Biasanya sebuah enjin dengan stroker crankshaft akan menghasilkan lebih banyak kuasa keseluruhan berbanding enjin yang melakukan ‘over-bore’ untuk mendapatkan peningkatan kapasiti yang sama besar.

Stroke yang lebih panjang menjadikan jarak perjalanan omboh ke atas dan kemudian ke bawah yang lebih besar. Oleh kerana masa yang diperlukan untuk pergerakan omboh tersebut tetap sama, kelajuan pergerakan omboh akan lebih cepat dengan stroked crankshaft (omboh perlu bergerak pada jarak yang lebih jauh dalam masa yang sama). Ini boleh menyebabkan omboh atau/dan piston ring omboh tersebut haus dengan lebih cepat.

Peningkatan stroke yang besar boleh mengurangkan keupayaan sebuah enjin itu untuk berprestasi secara optima pada rpm tinggi. Enjin yang biasanya digunakan pada rpm tinggi adalah lebih baik dengan stroke yang rendah tetapi bore yang lebih tinggi.

Sebuah stroker kit, secara am merangkumi crankshaft, connecting rod, piston, piston pin, main bearing, dan piston pin. Ini juga dikenali sebagai “rotating assembly” atau “bottom end”. Terdapat pelbagai jenis binaan untuk setiap satu dari komponen-komponen tersebut yang boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi berbeza. Sebagai contoh, crankshaft boleh dibina secara forged atau casted. Conrod pula boleh merangkumi rekaan I-beam atau H-beam dan dibina dari pelbagai bahan binaan seperti keluli atau titanium.

Share.

About Author

Leave A Reply