Teknikal – Langkah Asas Modifikasi

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Apakah ubahsuai asas yang harus saya lakukan kepada kereta sebagai satu permulaan?

Satu persoalan yang sering ditanya oleh golongan penggemar automotif yang masih mentah ataupun mereka yang bermula mempunyai keinginan mengubahsuai kenderaan mereka. Modifikasi kepada sesebuah kenderaan dikaitkan kepada arena sukan bermotor, tetapi kenderaan-kenderaan yang diubahsuai ini tidak selalunya berlumba dan lebih untuk kepuasan memandu serta kepuasan dimiliki. Ini termasuklah ubahsuai ringan kepada bahagian enjin, sistem gantungan, sistem audio, bahagian dalaman dan bahagian luaran sesebuah kenderaan.

Ubahsuai kenderaan adalah sebuah industri dan hobi pada masa yang sama, dimana sebuah kenderaan diubahsuai bagi mempertingkatkan prestasi pemanduan, rupa bentuk ataupun mengikut gaya pemanduan tersendiri. Sedangkan semua kenderaan dibina untuk umum, modifikasi menjadi satu-satu caranya untuk menggantikan ciri-ciri kenderaan tersebut dengan pilihan tersendiri.

Ruangan teknikal pada kali ini akan membincangkan ubahsuai-ubahsuai asas yang boleh dilakukan anda sebagai satu permulaan, mengikut populariti-nya.

Sistem Audio

Biarpun tidak menawarkan sebarang peningkatan prestasi, sistem audio memberikan hiburan semasa memandu dan merupakan pilihan ramai sebagai permulaan. Sistem audio asal yang kurang berkemampuan selalunya akan diganti dengan modifikasi asas seperti unit utama pemain cakera ataupun lebih ekstrim dengan sistem audio custom sepenuhnya. Prestasi komponen-komponen audio aftermarket seperti pembesar suara dan amplifier menawarkan kualiti bunyi lebih jelas dan ketahanan yang lebih lasak.

Bahagian Dalaman

Ubahsuai kepada bahagian dalaman kenderaan kerap juga dilakukan dan terdiri dari beberapa peringkat. Sebagai contoh ada yang akan menggantikan tempat duduk asal dengan tempat duduk bucket atau semi-bucket dan ada juga yang lebih ekstrim yang akan mengeluarkan tempat duduk belakang untuk menempatkan produk aftermarket yang lain atau semata-mata untuk mengurangkan berat.

Disamping itu beberapa contoh yang lain termasuklah roda steering sport, tombol gear pilihan, pemijak kaki aluminum, produk-produk pengukuhan cesi, meter-meter paparan dan sebagainya, dimana semuanya samada alat ganti berprestasi atau semata-mata kosmetik sahaja dilakukan mengikut citarasa dan sebab yang tersendiri.

Bahagian Enjin

Ubahsuai prestasi enjin sejak kebelakangan ini dipasarkan sebagai produk aftermarket yang mempunyai fungsi yang sama dengan komponen-komponen asal yang digantikan itu, sambil menawarkan prestasi yang lebih tinggi. Modifikasi pada bahagian ini turut boleh dilakukan dalam peringkat, dimana ubahsuai yang paling asas adalah penapis udara, sistem ekzos dan alat kawalan elektronik. Sebuah enjin bagaikan sebuah pam dan berdasarkan itu, dengan mempermudahkan enjin menyedut udara dan melepaskan gas ekzos dengan efisyen sahaja, sedikit sebanyak dapat meningkatkan kuasa. Tambahan pula anda mampu menala nisbah campuran bahan api dan udara dengan alat kawalan elektronik supaya mencapai pembakaran yang sempurna.

Tetapi anda harus ingat, kadar peningkatan bergantung sepenuhnya kepada ubahsuai yang dilakukan dan dengan kerja-kerja ringan seperti yang disebutkan tadi, peningkatan prestasi biarpun sedikit sahaja tetapi akan memberikan pemanduan yang lebih ekonomikal mahupun selesa. Jika ingin mengubahsuai kenderaan, walaupun ianya lebih mudah dan beban lebih kecil (kos) sekiranya dilakukan secara peringkat anda harus juga ketahui matlamat akhir. Jika enjin tersebut diubahsuai untuk prestasi pemanduan yang lebih jitu sahaja, ubahsuai boleh dilakukan secara peringkat dan pada beberapa bahagian sahaja.

Manakala sekiranya anda ingingkan sebuah enjin perlumbaan, pelbagai komponen harus ditukar segera untuk mempermudahkan matlatmat akhir dicapai. Namun, ini lebih untuk mereka yang ekstrim seperti pengubahsuaian turbo-kit dan sebagainya semata-mata untuk memperolehi prestasi maksima.

Sistem Suspensi

Ubahsuai kepada sistem gantungan melibatkan gegelung pegas, penyerap hentak, sway bar atau anti-roll bar dan komponen-komponen suspensi yang lain. Suspensi yang mempunyai strok yang lebih rendah dan yang lebih keras akan menawarkan pusat graviti yang lebih rendah dan mempertingkatkan kawalan pemanduan dinamik tetapi dengan mengorbankan keselesaan. Pilih antara ubahsuai ringan seperti geglung pegas sport sehingga sistem suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya mengikut keperluan dan gaya pemanduan anda.

Selain dari itu, sway bar yang lebih kukuh juga membantu mengurangkan body-roll semasa selekoh lalu mempertingkatkan prestasi cengkaman tayar. Komponen lain yang kerap dipasang juga adalah seperti strut bar yang bantu memperkukuhkan cesi dan mengekalkan geometri suspensi yang tepat.

Bahagian Luaran

Akhir sekali, modifikasi kepada rupa bentuk kenderaan seperti bodykit dan spoiler. Biasanya ini dilakukan untuk mempertingkatkan kualiti aerodinamik sesebuah kenderaan dan pada masa yang sama meningkatkan prestasi melalui bahan-bahan yang ringan seperti aluminum dan gentian kaca.

Walau bagaimanapun kerap kalinya, ubahsuai-ubahsuai seperti ini dilakukan semata-mata untuk mencantikkan rupa bentuk kenderaan tersebut mengikut citarasa tersendiri. Didapati ianya jarang produk-produk kosmetik akan memberikan peningkatan kepada prestasi tetapi sebaliknya akan menambah beban. Oleh sebab itu, individu yang lebih fokus kepada prestasi nyata dan bukannya gaya akan memilih bodykit yang terbukti keberkesananya dan mengubahsuai bahagian luaran dengan minima sahaja, seiring dengan keperluan.

Roda sesebuah kenderaan juga amat penting dan dengan memperluaskan jarak diantara roda dapat mempertingkatkan dinamik pemanduan. Pertukaran kepada rim dan tayar turut bergantung kepada gaya pemanduan dan keperluan. Roda yang ringan dan tayar yang mempunyai daya cengkaman yang tinggi selalunya menjadi pilihan.

Apabila ingin mengubahsuai kenderaan anda, jangan bersifat tergesa-gesa. Sebelum memulakan sebarang projek lakukan penyelidikan terdahulu dan pastikan pilihan kamu itu sesuai dan tidak akan memberikan sebarang kesan negatif sekarang dan pada masa akan datang. Selamat mencuba!

Share.

About Author

Leave A Reply