‘Restore’ Honda EX5 Dream 2009 – Hargai pemberian ibu

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Kisah owner moto:

Ianya bermula dengan membeli sepasang ‘sportrim’ Yamaha Lagenda Limited. Niat asalnya hanya ingin menjadikan rim tersebut sebagai koleksi peribadi, namun akhirnya ianya telah menjadi titik permulaan mengapa tidak membetulkan semula motosikal yang sudah bertahun tersandar di dinding rumah. (Pelik kan? Beli rim Yamaha, nak masuk dekat Honda 🤣🤣🤣)

Selepas kejadian malam membeli spotrim Lagenda Limited tersebut, maka bermainlah difikiran samada mahu membetulkan semula Honda EX5 Dream yang penuh dengan kenangan dalam hidup tu ataupun tidak. Dalam zaman yang sekarang ni, harga barangan sudah tentulah bukan biasa-biasa. Namun, setelah 3 malam berfikir, akhirnya keputusan diambil!!! “Restore”!!! Maka bermulalah langkah pertama. 

Honda EX5 Dream ini sebenarnya telah melalui pelbagai kenangan suka dan duka bersama dengan aku. Ianya juga merupakan satu harta di mana ibuku sendiri telah memberi wang pendahuluan untuk memilikinya suatu ketika dahulu. Ya, moto ni merupakan moto yang ke-4 beliau belikan untuk aku setelah yang lainnya di jual dan dibeli semula dengan model yang sama dan lebih baru.

(Tamat bab Owner! Kita masuk bab orang yang buat plak ye!)

Seperti biasa, kesemua yang ada pada badan motosikal ni dileraikan satu persatu hinggalah tinggal rangkanya sahaja. Semua skru dan aksesori yang lama diletakkan dalam satu tong khas di mana ada yang akan digunakan semula tanpa membazir untuk dibeli baharu.

Untuk melakukan kerja mengecat badan dan juga swing arm moto ni, saya telah menghantar ke Bandi Sprayworks di Taman Bolton Batu Caves untuk melakukan kerja-kerja mengecat. Sementara menanti kesemuanya siap di cat, saya mencari penjual-penjual ‘online’ samada di Facebook ataupun di Shopee. 

Walaupun rasa was-was, kena kentalkan hati juga demi memburu peralatan dan alat ganti asli Honda EX5 Dream ni. Kesemuanya dilakukan dalam masa 3 minggu. Sedikit demi sedikit alat ganti mula di pesan dan dihantar di pejabat. Boleh dikatakan dalam masa 3 minggu tu banyak kali jugalah posmen poslaju dan juga abang-abang kurier ni turun naik hantar barang. 

barang sampai

Tidak cukup dengan itu, ada juga peralatan lain yang dicari sendiri apabila pulang ke kampung. Satu kelemahan saya adalah tidak pandai bab-bab enjin dan juga kustom ni. Maka, ada kenalan yang merupakan seorang mekanik berpengalaman boleh melakukannya. Legaa…. Ada 2/3 orang kawan lain pula terpaksa la melayan saya yang tengah duk gila mencari alat-alat ganti sampaikan ke tengah malam pun diangkutnya pergi kedai menjual ‘sparepart’ di Muar. 

Setelah enjin dan beberapa alat ganti yang perlu dikustomkan (pam brek disc depan) di hantar ke Melaka, tiba pula giliran untuk mengadap body moto yang baru je siap diwarnakan semula oleh Bandi Sprayworks! Kesemua alat ganti dipasang dengan teliti dan harus dipastikan ianya yang asli demi mengekalkan ciri keasliannya. Bukanlah nak ‘rare’ sangat, tapi dah alang-alang buat tu, biarlah puas hati. 

Balik je dari kerja, mengadaplah moto ni sampai ke malam. Dalam masa sebulan ye! Hujung minggu plak balik ke Melaka sebab nak ambil semula enjin yang dah siap overhoul dan alat ganti yang dah dikustomkan. Nasib baiklah ada kawan-kawan yang nak melayankan kerenah gila saya ni. Mereka juga banyak bagi tunjuk ajar dan juga nasihat semasa nak naik taraf jentera ni. Nasib baiklah owner moto ni sanggup mengeluarkan belanja demi menyiapkan moto kesayangan beliau ni. 

Masuk minggu ke-3, kesemua alat ganti dah mula lengkap dipasangkan. Satu masalah tentang moto ni adalah SKRU! Nak dijadikan cerita, tak semua skru lama boleh digunakan semula. Maka terpaksalah saya mengadap telefon setiap malam untuk mencari penjual skru yang original. Alhamdulillah, ianya membuahkan hasil. Skru punya pasal pun boleh jadi masalah moto ni tak boleh siap tau. Bahagian penting yang harus dipasang adalah enjin.

Setelah dipasangkan, barulah beberapa alat ganti lain boleh dipasangkan dan dilengkapkan bagi menampakkan rupa moto ni. Genap 1 bulan 5 hari maka siaplah Honda EX5 Dream ni. Walaupun dah nampak siap, masih ada beberap bahagian yang di perbetulkan semula untuk membuatkan ianya tampak lebih hebat semula. 

Terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu saya untuk menyiapkan moto ni seperti Wan Serkam, Ulie, Pak Jalit, Ajol Maxz Motor Sport Melaka, Shah Bandi (Bandi Spray), Radip Sempoi, Abe,Faislicca, Pojie Achem, Munat Motor Design, seller-seller online Facebook dan Shoppe seperti Johnson Lee, Waf Spareparts, Aiman (Arizs Sparepart), Engsiong88, PT Motorsports, Syaz Spareparts, Amie Motor, Shope Motorpart, Tomok Motorpart, Hakim Pantai Dalam, Syed Arifuddin dan lain-lain lagi. 

*Bab modal kena la tanya owner nanti. Dia malas nak kira sebenarnya. Bagi dia janji moto siap dan puas hati. Tido pun lena katanya… Kepada korang yang nk ‘restore’ moto juga, berhati-hati masa beli alat ganti sebab ada kalanya takut terkena dapat alat ganti yang tak asli dikatanya asli. Cari seller-seller yang jual pada harga berpatutan. Untuk alat ganti Honda yang original, ianya dibuat di Malaysia, Vietnam ataupun Thailand dan terdapat ‘hologram’ atau cop logo Honda ataupun “H” di bahagian atas kanan label barang tersebut.

 

Share.

About Author

Leave A Reply