Nissan Skyline R34 V-Spec Limited – The Way of the Samurai

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Lagenda jalanan tampil dengan aksi yang cukup meyakinkan

Figura bernama Nissan Skyline GT-R telah menjadi idaman ramai. Walaupun telah tampil dengan beberapa generasi yang hebat, model-model tersebut telah diangkat sebagai lagenda dalam dunia modifikasi. Ramai diantara kita yang menggelarkannya dengan nama timangan ‘Godzilla’ untuk model tersebut. Ia telah dibuktikan dengan kejayaan meraih pelbagai anugerah dunia automotif dan juga sentiasa mengungguli litar-litar lumba di seluruh dunia.

Jika anda terserempak dengan sebuah Nissan GT-R35, pasti kelibatnya akan melirikan mata anda dari terus berkelip memandangnya. Rekabentuknya yang garang dan gagah serta kuasa enjinnya yang menakjubkan pasti membuatkan ramai orang mengidamkan untuk memiliki sebuah satu hari nanti.

Sebelum mencapai kejayaan hari ini, Nissan Skyline GT-R telah hadir sekitar tahun 1969 dengan memperkenalkan generasi pertama yang dikenali sebagai KPGC10 dengan enjin 2.0liter yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 160 kuasa kuda. Seterusnya generasi kedua lahir pada tahun 1973 dengan memperkenalkan model KPGC110. Kedua-dua model ini agar sukar ditemui beraksi dijalanan apatah lagi di Malaysia.

Kesinambungan entiti GT-R diteruskan dengan pengenalan generasi ketiga yang lahir pada tahun 1989 yang lebih dikenali dengan nama R32. Di sinilah lahir enjin RB26DETT bersesaran 2.6 liter yang menjadi kegemaran tuner-tuner di seluruh dunia kerana kemampuannya untuk menanggung bebanan kuasa yang tinggi. Pada tahun 1995, Nissan sekali lagi memperkenalkan R33 yang lahir sebagai generasi keempat. Pada tahun 1999 lahir pula generasi kelima yang dikenali dengan nama R34 dan dihentikan produksinya pada tahun 2002.

Setelah itu, Nissan telah telah membuat keputusan untuk tidak menyambung generasi Skyline GT-R dan digantikan dengan pengenalan model GT-R35 pada tahun 2007 di Tokyo. Walaupun beralih arah dengan menggantikan platform Skyline GT-R kepada GT-R sahaja, model tersebut masih dibayangi dengan kehebatan siri-siri Skyline GT-R.

Isu kali ini kami tampilkan sebuah Nissan Skyline R34 yang dilahirkan dalam versi yang lebih istimewa iaitu V-Spec Limited yang dikeluarkan dalam edisi yang amat terhad. Walaupun usianya sudah menjangkau lebih dari 10 tahun, nilai yang ada padanya tidak pernah susut.

Dikuasakan oleh mesih berkod RB26DETT yang mempunyai kapasiti 2.6 liter dengan bantuan janaan system turbo berkembar. Di atas kertas, kuasa yang mampu dihasilkan adalah sekitar 280 kuasa kuda. Pemilik R34 ini tidak menunggu lama untuk menaikkan lagi potensi yang ada padanya. Perkara tersebut tidak sukar untuk dilakukan kerana pelbagai jenama syarikat tuner telah tampil untuk menghasilkan komponen-komponen berprestasi tinggi untuknya.

Usaha pemiliknya untuk memenuhi kehendak jiwa kelajuan telah dibantu oleh jalinan kerjasama yang erat dengan mekanik yang tersohor di arena sukan bermotor tempatan. Pasukan yang diketuai oleh Mat Penang dari Setiawangsa Racing tidak perlu diperkenalkan. Hasil kerjanya cukup mengkagumkan dengan pelbagai kejayaan yang diraih.

Proses naiktaraf dimulakan dengan mendapatkan set komponen enjin dari jenama Tomei. Jenama yang tidak asing lagi di dalam arena modifikasi jentera. Set komponen tersebut terdiri daripada bahagian blok dan kepala silinder yang mengandungi piston dan conrod dari Tomei. Di bahagian kepala silindernya juga telah dilengkapi dengan pelbagai komponen enjin dari jenama Tomei. Terdiri daripada sepasang aci sesondol berdurasi 260º berkerjasama dengan campulley, oversized valve, valve spring dan juga metal gasketnya.

Untuk tujuan ledakan kuasa yang maksima, satu unit turbo HKS GT2510 Ballbearing lengkap dengan actuator telah diberikan tugas penting tersebut. Turbo tersebut telah ditenggekkan di atas manifold ekzos dari Tomei dan juga dipasangkan dengan downpipe ekzos dari jenama yang sama. Untuk tujuan pengambilan udara, tugas tersebut diberikan kepada unit intake jenama Nismo.

Menyentuh kepada sistem bahan apinya. Ia sedikit rumit tetapi begitu menarik untuk dikongsi bersama. Bahan api yang disimpan di tangki dan distabilkan oleh unit Surge tank aluminium rekaan khas. Bahan api tersebut akan dipam oleh unit oil  pump jenema bosch 044 terus ke bahagian enjin. Di sana nanti, bahan api tersebut akan dilaraskan oleh fuel pressure regulator bersaiz besar dari jenama Sard. Setelah itu, bahan api tersebut akan terus disalirkan kepada bahagian fuel rail jenama Tomei sebelum disuntik ke enjin untuk proses pembakaran enjin.

Bagi tugas sistem penyejukan pula, beberapa komponen berjenama telah dilantik untuk melakukan tugas tersebut. Suhu enjin akan distabilkan oleh radiator dari ARC, manakala cecair pelincir pula distabilkan suhunya oleh oil cooler dari jenama ARC dengan adapter dari Grex. Pelepasan gas monoksida yang terhasil daripada proses pembakaran enjin pula telah disalurkan kepada sistem ekzos dari jenama 5 Zigen Border bersambungan dengan paip ekzos stainless steel berukuran 3.5 inci.

Tugas peralihan kuasa pula masih dikekalkan dengan kotak 6 kelajuan manual yang asal tetapi mendapat bantuan daripada sistem klac dari jenama OS Giken STR Twin Plate Clutch. Keseluruhan proses modifikasi ini telah di kawal sepenuhnya oleh unit kotak komputer paling popular iaitu HKS FCon VPro version 3.3. Unit tersebut telah mendapat sentuhan pelarasan yang terbaik daripada Saudara Mat Penang.

Bagi memenuhi kehendak pemiliknya yang sentiasa menginginkan kepuasan sewaktu sesi pemanduan yang kadang-kadang sedikit agreasif, sistem suspensi boleh laras sepenuhnya tahap kekerasan dan ketinggian daripada HKS Hipermax telah diberikan tanggungjawab tersebut.

Model Nissan Skyline juga telah dikeluarkan dengan beberapa versi atau edisi khas antaranya adalah Z-Tuned. Tertarik dengan penampilan versi tersebut, pemilik jentera ini telah mentransformasikan Nissan Skyline R34 V-Spec Limited kepada versi Z-Tuned sepenuhnya. Menyerlahkan lagi penampilan jentera ini, set rim Nismo LM GT-4 berukuran 18 inci dibaluti dengan tayar berprestasi Toyo Proxes R888. Terselindung di rim tersebut adalah set brek jenama Endless Monoblock 6pot dibahagian hadapan dan 4pot dibahagian belakang.

Usaha modifikasi yang telah dijalankan oleh pemilik jentera ini seharusnya diberikan pujian. Mengambil semangat pahlawan samurai, jentera ini cukup berani untuk beraksi di jalanan. Pihak lawannya pasti akan menggeruni kelibatnya. Tidak dilupakan juga, tahniah kepada Saudara Mat Penang daripada Setiawangsa Racing di atas hasil kerja tangannya yang begitu menakjubkan.

Spesifikasi Shift!

Kereta: Nissan Skyline R34 V-Spec Limited (Convert Original Z-Tuned)

Enjin: RB26DETT 2.6 liter, 6-Silinder Twin Turbo

 Modifikasi Enjin: Head & Block fully Tomei- Conrod Tomei, Piston Tomei, Camshaft 260º Tomei, Campulley Tomei,Oversized Valve Tomei, Valve Spring Tomei, Metal Gasket Tomei, Fuel Rail Tomei, Intake Nismo, Twin Turbo HKS GT2510 Ballbearing with Actuator, Manifold Tomei, Fuel Rail Tomei, Downpipe Tomei, Radiator ARC, Oil, Oil Cooler ARC with Grex Adapter, Sard Big Sized Fuel Pressure Regulator, Oil Pump Bosch 044, Surge Tank Aluminium Custom, Braided Hose, Oil Catch Tank ARC, Oil Pump Tomei, Water Pump Tomei, Piping Intercoller HKS, GT Coolling Panel, Oil Cap Tomei, Exhaust 5 Zigen Border with 3.5 inch Piping

 Transmisi: 6 kelajuan manual Original with OS Giken STR Twin Clutch Plate

 Suspensi: HKS Hipermax adjustable hi-lo soft-hard

Elektronik: HKS F-Con V-Pro 3.3 ECU, Defi Gauges, VSD Defi Mirror, RPM Defi, Boost Controller Profec B HKS

 Brek: Endless Monoblock 6pot ( hadapan) dan 4pot (belakang)

 Rim & Tayar: Rim Nismo LM GT-4 18 inci dengan tayar Toyo Proxes R888 265/35R18

 Luaran: Original Bodykit Nismo Z-Tuned, Side Mirror Carbon Fiber.

 Dalaman: Seat Bride Cuga, Meter Nismo, Gearknob Nismo

Tuner: Mat Penang Setiawangsa Racing

Teks:W@zid   Foto: Kenny Yeoh

 

 

Share.

About Author

Leave A Reply