Mazda RX3 – Old School Rocker!

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Kisah sebuah jentera lama yang telah dinaiktaraf dengan begitu hebat sekali..

Sepanjang karier saya sebagai seorang penulis untuk majalah automotif yang lebih menumpukan kepada dunia modifikasi jentera, pelbagai model dan ragam naiktaraf yang telah saya temui. Daripada sebuah kereta bersaiz kompak sehinggalah kereta bertaraf supercar. Namun apa yang uniknya adalah, kami di Shift lebih gemar menumpukan jentera-jentera berprestasi yang terdiri dari golongan bawahan dan kelas pertengahan yang lebih relevan di kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun dunia hari ini lebih menumpukan kepada model-model kenderaan yang lebih mementingkan kepada konsep ‘hijau’, tetapi buat peminat-peminat yang gemarkan jentera berprestasi tinggi pasti tidak akan lari untuk ‘melajukan’ kenderaan mereka. Jika di beberapa negara maju yang telah menjalankan dasar penetapan had jangka hayat kenderaan tetapi ianya tidak berlaku di Malaysia yang menyaksikan diri masih banyak meliar kenderaan-kenderaan ‘lama’ di jalanan dan ramai yang berharap agar ianya tidak akan berlaku.

 

Perkenalan saya kepada seorang rakan yang ‘gila’kan jentera berprestasi tinggi telah menemui satu model miliknya yang cukup istimewa di hati saya. Kenapa dan mengapa? Jawapannya cukup mudah. Ini adalah kerana ianya sebuah Mazda RX3. Sebuah kereta lama dan berprestasi!

Walaupun ianya bukanlah sebuah model asli Mazda RX3, badan asal Mazda 808 Coupe ini telah menjalani proses transformasi sepenuhnya dengan menukar rupa sekaligus merubah penampilan keseluruhannya menjadi Mazda RX3 facelift 12A. Tidak cukup dengan itu, nadi penggerak asalnya juga telah digantikan kepada mesin yang telah diikhtiraf di dalam dunia automotif sebagai sebuah mesin yang cukup unik! Enjin wankel Rotary 13B Twin Rotor yang beroperasi tanpa menggunakan piston.

Enjin Wankel Rotary Twin Rotor ini tidak sekadar diambil dan diletakkan secara ‘tangkap muat’ dari kedai potong, sebaliknya telah menjalani proses restorasi sepenuhnya agar ianya lebih segar dan bertenaga. Twin Rotor tersebut telah dirombak secara proses Serious 5 Street Port dengan penggantian Racing Apexseals berukuran 2mm. Proses ini telah menjadikan enjin tersebut seakan-akan baru umpama baru dihasilkan daripada kilang produksi.

Tidak cukup dengan itu, unit kit turbo TD06-20G telah dipadankan bersama enjin tersebut dalam usaha mencapai ledakan kuasa yang lebih maksima. Kit tersebut telah dicantumkan bersama komponen-komponen berprestasi yang lain termasuklah Wastegate 38mm dan juga Trust Type R Blow Off Valve yang beroperasi melepaskan tekanan-tekanan udara yang berlebihan yang tidak digunakan oleh enjin sewaktu proses pembakaran.

Sewaktu pembakaran enjin, bagi mendapatkan percampuran bahan api dan juga udara yang lebih efisien, unit penyuntik bahan apinya telah dinaiktaraf kepada injector 750cc supaya bekalan bahan api yang diperlukan sentiasa mencukupi. Selain dari itu, sebuah unit pam bahan api dari jenama Walbro yang menyalurkan bahan api sejumlah 275lph juga membantu tugas penting tersebut.

Untuk tugas penyejukan udara yang masuk ke enjin, bantuan telah dipohon menerusi komponen intercooler dan radiator yang diimport dari jenama Trust. Bagi tugas penyejukan minyak pelincir enjin pula, ianya telah diserahkan kepada unit oil cooler enjin juga dari jenama Trust. Untuk tujuan pelepasan gas karbon monoksida yang terhasil daripada proses pembakaran enjin, sistem paip ekzos buatan material stainless steel berukuran 3 inci dan diakhiri dengan perendam bunyi 5Zigen Border Trumpet adalah antara yang terbaik.

Beralih kepada sistem transmisinya, Jentera ini masih mengekalkan kotak transmisi asal enjin RX7 tetapi mendapatkan khidmat daripada set sistem klac berprestasi dari jenama OS Giken yang menawarkan peralihan kuasa daripada enjin ke bahagian roda dengan lebih efektif. Selain dari itu, beberapa komponen yang berkaitan telah dirombak bagi menyesuaikan enjin baru tersebut dengan cesi badan RX3 ini antaranya adalah rear axle LSD dan juga stereng rack yang diambil dari model Toyota AE86.

Setelah selesai pergabungan semua komponen enjin, kini tibalah masanya untuk mencari pelarasan yang terbaik untuk semua kerja-kerja naiktaraf. Ianya adalah antara prinsip yang terpenting dalam usaha menghasilkan sebuah jentera yang terbaik. Bagi Mazda RX3 ini, unit computer jenis ‘standalone’ dari jenama Microtech LT-10s telah digunakan. Unit ECU buatan Australia ini adalah antara yang terbaik di pasaran pada ketika ini dan telah memuaskan hati ramai pengguna yang memilihnya.

Bagi memenuhi kehendak pemiliknya yang sentiasa inginkan satu sesi pemanduan yang berkualiti dan agreasif, sistem suspensi boleh laras tahap kekerasan dan juga ketinggian yang telah direka secara khas untuknya telah dipasangkan. Dengan itu, pemiliknya lebih yakin sewaktu beraksi dijalanan lebih-lebih lagi ketika mengambil selekoh yang tajam. Untuk tujuan pemberhentian pula, tugas tersebut telah diberikan kepada set brek model Mazda Savanna untuk bahagian hadapan dan juga belakang.

Dari sudut penampilannya pula, jentera model Mazda RX3 ini sudah cukup unik rekabentuknya. Memiliki karisma yang dikagumi ramai. Tidak cukup dengan itu, kit badan yang sedikit lebar rekaan khas telah dipadankan kepadanya. Ia telah menyerlahkan lagi penampilan segak bergaya. Untuk mengekalkan ciri-ciri ‘old school’ yang ada padanya, set rim ‘pisang’ Watanabe berukuran 15 inci telah dipadankan. Rim tersebut telah dibaluti dengan tayar ‘semi slick’ berprestasi tinggi jenama Toyo Proxes R888.

Pujian juga harus diberikan kepada mekanik-mekanik daripada bengkel RPS Motorsports yang terletak di USJ 1, Subang Jaya di atas hasil kerja yang begitu menakjubkan. Ianya bukanlah suatu tugas yang mudah untuk memenuhi kehendak pelanggannya ini.

Tanpa banyak menghamburkan pujian terhadap jentera paparan utama isu kali ini, sila nikmati gambar-gambar hasil seni daripada Saudara Kenny Yeoh. Secara peribadi, ia adalah sebuah kereta hebat pilihan saya!

 Spesifikasi Shift!

Kereta: Mazda 808 Coupe Fully Convert RX3 Facelift 12A

Enjin: RX7 13B Twin Rotor Wankel Rotary Engine

 Modifikasi Enjin: Serious 5 Street Port with Racing Apexseals 2mm, Turbo Kit TD06-20G, HKS Wastegate 38mm, injector 750cc, Trust Type R Blow Off Valve, Trust Intercooler, Trust Oil Cooller, Trust Radiator, Exhaust 5 Zigen Border Trumpet, Stainless Steel 3 inch Straight Piping, Fuel Pump Walbro.

Transmisi: Stock Gearbox with OS Giken Clutch Set, Rear Axle Modified LSD, Stereng Rack Toyota AE86.

 Suspensi: Custom Adjustable Absober hi-lo soft-hard

Elektronik: Microtech LT-10s With X4 Ignitor Box

 Brek: Set Brek Mazda Savanna hadapan & belakang

Rim & Tayar: Rim Watanabe 15 inch dengan tayar Toyo Proxes R888

 Luaran: Custom Widebody

 Dalaman: Seat Mazda RX7 & Original Stereng

Tuner: RPS Motorsports, USJ 1 Subang jaya.

Teks:W@zid   Foto: Kenny Yeoh

 

 

Share.

About Author

Leave A Reply