Ford Escort MK1 Coupe – Mr. White Stripe

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Biasanya kita akan melihat kereta seperti ini dalam filem aksi luar negara, namun dengan minat yang mendalam pada idolanya serta kenderaan lama telah membuatkan Anas berjaya mengadaptasikan segalanya di depan mata masyarakat Malaysia!

Di Malaysia sekarang sudah menjadi ‘trend’ peminat kereta lama atau ‘old skool’ membina serta memodifikasi jentera mereka untuk menjadi sebuah kereta yang hebat serta berkuasa. Kereta-kereta tersebut akan dibina semuala supaya kelihatan seperti yang asal serta diletakkan dengan pelbagai peralatan yang baru agar dapat dipandu dengan keadaan yang lebih selesa dan selamat. Pelbagai inisiatif telah diambil oleh semua pemilik kereta lama ini antaranya mengumpul komuniti-komuniti yang mempunyai minat yang sama disamping dapat berkongsi dan bertukar-tukar pendapat tentang minat dan juga pengalaman mereka terhadap jentera mereka.

Antara model-model kereta yang popular dikalangan peminat kereta lama ini antaranya Toyota KE, Levin, Datsun, Volkswagen, Volvo dan juga Ford Escort. Bercakap mengenai kereta lama, baru-baru ini, filem Fast & Furious 6 telah ditayangkan di pawagam dan telah menampilkan pelbagai model kereta hebat yang berlainan jenama. Salah sebuah model kereta yang terdapat di dalam filem itu adalah Ford Escort yang telah digunakan oleh Brian untuk melakukan aksi. Oleh yang demikian, kereta tersebut telah menarik perhatian oleh saudara Anas untuk membina sebuah jentera yang lebih kurang sama seperti di dalam filem tersebut. (*Anas cakap dia dengan Brian dah lebih kurang sama je, tapi Brian tak pakai Oakley…)

 

Seperti yang kita tahu, model Ford Escort adalah sebuah model yang sangat popular digunakan bagi perlumbaan rali di luar negara. Dengan kekuatan cesi badan serta binaan yang kukuh telah menjadikan model ini menjadi pilihan untuk digunakan bagi pelbagai kegunaan disamping kenderaan kegunaan harian. Anas telah berjaya memiliki jentera ini melalui satu proses pencarian yang agak sukar. Setelah jentera barunya ini sampai di depan mata, beliau tidak menunggu lama untuk membina semula jentera ini untuk kelihtan seperti yang dirancangkan. Enjin asalnya yang bersesaran 1600cc  telah diangkut keluar dari ruangan enjinnya untuk digantikan dengan sebuah enjin yang lebih berprestasi dan di luar jangkaan. Beliau telah memberi kepercayaan kepada bengkel Din Turbo, Melaka yang sememangnya terkenal dengan kepakaran mengubah suai yang sangat kreatif untuk melakukan segala proses pengubahsuaian dan restorasi terhadap jenteranya ini.

Enjin Toyota 1UZFE V8 bersesaran 4 liter telah menjadi pilihan beliau untuk dimuatkan dalam jentera ini. Tak masuk akal bukan, tapi inilah kenyataannya. Kalau masuk enjin ‘rotary’ tu biasalah juga, tapi ni enjin 4 liter bang…4 cam, 32 valve. Enjin aloi tu…. Enjin V8 ini sangat hebat kerana mampu menghasilkan kuasa yang tinggi pada tahap RPM yang rendah. Oleh itu, anda boleh fikir bagaimana jentera ini akan beraksi dengan nadi barunya ini.

Bagi memuatkan enjin ini, pihak Din Turbo telah melakukan beberapa perubahan pada ‘mounting’ enjin yang dikustomkan agar keadaan enjin dan cesi jentera ini berada pada sudut kestabilan yang tepat serta kukuh disamping untuk memberi lebih kekuatan  untuk menahan desakan enjin yang sangat bertenaga. Hasilnya, kesemua ‘mounting’ tersebut telah berjaya diubah dan enjin yang masih berkeadaan asal tanpa sebarang pengubahsuaian dimuatkan kedalam perut jentera tersebut.

Untuk menggerakkan pacuan roda belakang yang dikuasakan dari enjin tersebut, mereka telah memasangkan ‘axle’ belakang yang diambil dari model Toyota Hilux yang bersaiz agak besar serta kuat. Kotak gear asal V8 ini kemudiannya akan menyampaikan kuasa dari enjin ke roda belakang melalui ‘long shaft’ Isuzu Trooper yang disambungkan terus ke bahagian ‘axle’. Bukan mudah untuk memuatkan semua peralatan tersebut pada jentera ini, namun dengan ketelitian serta kehalusan hasil kerja Din Turbo inilah yang membuatkan Anas tidak berasa ragu-ragu untuk memberi kepercayaan kepada pihak mereka untuk menjayakan projek mengubah suai jenteranya ini.

Setelah semua pemasangan telah berjaya dibuat dan enjin juga telah berjaya dihidupkan, Badan Ford Escort ini kemudiannya dipasangkan dengan set sistem suspensi boleh laras Nissan Silvia S15 bagi mengimbangi dan memberi kestabilan kepada jentera yang telah dilengkapi dengan enjin buas ini. Kuasa memberhentikan kenderaan ini masih lagi menggunakan sistem brek 1UZ untuk bahagian hadapan manakala Nissan Silvia S13 untuk bahagian belakang beserta pelapik brek yang mempunyai ketahanan pada suhu yang tinggi.

Jentera ini tampak lebih bergaya dengan pemakaian rim rekaan Atara Racing (AR) yang diberi jolokan nama “pisang” bersaiz 15 inci di keempat-empat penjuru serta dibaluti tayar Federal RSR semislick 205/50R15 di bahagian belakang dan Yokohama Parada di depan  yang membantu tahap cengkaman lebih hebat di atas permukaan jalan raya. Ruangan dalaman jentera ini masih lagi di kekalkan dengan aksesori asal Ford Escort. Tempat duduknya telah dibaluti dengan material putih beserta ‘lining’ biru mengikut konsep warna Blue Candy yang dilayangkan pada badan kukuh Escort ini. Oleh kerana Anas juga memiliki kedai aksesorinya sendiri, jadi lebih mudah baginya untuk menyelenggara semula rupa jentera hebatnya ini. Di sekeliling badan jentera ini telah diletakkan ‘stripe’ putih yang menyerupai seakan-akan Ford Escort yang digunakan Brian O’ Conner di dalam filem Fast & Furious 6. Akhir sekali, sepasang ‘spot light’ halogen Saxo di bahagian ‘grill’ hadapan bagi memberikan penampilan yang lebih hebat terhadap jentera ini. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang jentera ini serta melihatnya dengan lebih dekat, anda boleh berkunjung ke Anass Auto Acc di Bukit Beruang Melaka atau boleh hubunginya di talian 012-662 4430. Pastinya beliau akan melayan anda dengan begitu mesra sekali. Harga ‘tinted’ bagi kurang sikit lagi ye bos!

Foto : Link Gud @ SOK’S Production

Spesifikasi!

Kereta : Ford Escort MK1 RS1600

Enjin : 1UZFE V8 4 liter

Modifikasi : Rear axle Toyota Hilux, Long Shaft Isuzu Trooper, kustom engine mounting, stereng Sparco

Elektronik : Asal 1UZFE

Transmisi : Automatik V8

Suspensi & Cesi : Set suspensi ‘adjustable’  Silvia S15

Sistem Brek : V8 (depan), S13 (belakang)

Roda & Tayar : Rim Atara Racing (AR) Pisang 15”, tayar Yokohama Parada (depan) Federal RSR Semislick 205/50R15 (belakang)

Dalaman : Asal MK1

Luaran : Saxo sportlight, “White Stripe” F&F6 Escort Style, warna Blue Candy

Bengkel & Tuner : Din Turbo & Anas Auto Acc

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Share.

About Author

Leave A Reply