Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2018

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Foto : Aie Mins@Perotography, Ain Johann, Kenny Yeoh@eosguy & Valen Foong
Tanda tanya mengenai siapakah juara dunia bagi perlumbaan MotoGP sudah pun terjawab semasa perlumbaan di litar Motegi apabila ianya telah berjaya dirangkul oleh pelumba dari pasukan Repsol Honda Team, Marc Marquez. Namun begitu, perlumbaan di Malaysia bukanlah sesuatu yang tidak perlu diambil kira oleh beliau. Untuk memastikan rekod bersih, pelumba licik ini sentiasa memastikan corak dan gaya tunggangan beliau memberikan podium untuk pasukannya. Ternyata, dengan kehebatan yang ditonjolkan, podium utama di Litar Antarabangsa Sepang menjadi milik pasukan Repsol Honda.


Turut bersama Marc Marquez di podium adalah Alex Rins (Team Suzuki ECSTAR) di tempat ke-2 diikuti oleh Johann Zarco dari pasukan Monster Yamaha Tech 3 ke-3. Turut membanggakan adalah satu-satunya pelumba negara yang berlumba dalam kategori MotoGP iaitu Hafizh Syahrin dari pasukan Monster Yamaha Tech 3 yang telah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10. Ini adalah sesuatu yang amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia yang rata-rata bukan sahaja datang untuk melihat pelumba kegemaran mereka tetapi turut memfokuskan perhatian kepada pelumba sulung Malaysia yang bersaing dengan para pelumba hebat dalam MotoGP.


Dalam kategori Moto2, 2 orang pelumba dari pasukan Sky Racing Team VR46 telah menaiki podium iaitu Luca Marini pertama dan Francesco Bagnaia ke-3 manakala Miguel Oliveira dari pasukan Red Bull KTM Ajo di tempat ke-2. Walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ke-3, Francesco telah dinobatkan juara keseluruhan bagi Moto2. Pelumba negara, Khairul Idham Pawi dari IDEMITSU Honda Team Asia bagaimanapun telah menamatkan perlumbaan di tempat ke-17 manakala Niki Tuuli yang berlumba bagi pasukan Petronas Sprinta Racing tidak dapat menghabiskan perlumbaan apabila terjatuh dipusingan ke-11.
Kategori Moto3 menyaksikan saingan yang sangat hebat dan akhirnya telah menobatkan Jorge Martin dari pasukan Del Conca Gresini Moto3 sebagai juara diikuti 2 orang pelumba Leopard Racing iaitu Lorenzo Dalla Porta ke-2 dan Enea Bastianini ke-3.


Acara yang telah bermula pada 2 November dan perlumbaan kemuncak yang telah diawalkan sedikit waktu perlumbaannya bagi mengelakkan cuaca yang tidak menentu pada 4 November telah mencatatkan lebih daripada 160,000 orang pengunjung! Tahniah Malaysia!!!

Share.

About Author

Leave A Reply